Penandaan tahun Kalendar_Cina

Tahun pemerintahan

Tahun-tahun Cina tradisional tidak dinomborkan secara berterusan seperti mana sistem Masihi/Sebelum Masihi. Biasanya, pengiraan tahun rasmi sentiasa menggunakan suatu bentuk tahun pemerintahan. Sistem ini bermula pada tahun 841 SM ketika dinasti Zhou. Sebelum ini, tahun tidak ditandakan langsung, maka peristiwa bersejarah tidak dapat ditentukan tarikh tepatnya.

Pada tahun 841 SM, Raja Li Hu dari Zhou (周厲王胡) digulingkan oleh pemberontakan orang awam (國人暴動), dan pada 14 tahun berikutnya negara ditadbir oleh satu majlis menteri kanan dalam satu tempoh yang dikenali sebagai Keregenan (共和行政). Pada zaman ini, tahun-tahun ditanda sebagai Tahun Pertama, Ke-2, Ke-3, dsb. Keregenan.

Kemudiannya, tahun-tahun ditanda sebagai tahun pemerintahan, cth. tahun 825 SM ditandai sebagai Tahun ke-3 Raja Xuan dari Zhou (周宣王三年). Sistem ini digunakan sehingga awal dinasti Han, apabila Maharaja Wen dari Han (漢文帝劉恒) memperkenalkan nama pemerintahan. Selepas ini, kebanyakan maharaja menggunakan satu atau lebih nama pemerintahan untuk menandakan pemerintahan mereka. Biasanya, maharaja memperkenalkan nama baru apabila naik takhta, kemdian beralih ke nama baru untuk menandakan peristiwa penting, atau menamatkan apa yang dipercayai sebagai kitaran nasib malang. Namun, pada dinasti Ming, setiap maharaja biasanya hanya memakai satu nama pemerintahan bagi pemerintahan mereka. Pada dinasti Qing, setiap maharaja hanya memakai satu nama untuk pemerintahan mereka.

Sistem ini berterusan sehingga Republik China diasaskan, di mana pemenritahan tersebut mengira tahun penubuhannya sebagai Tahun Republik mulai tahun 1912. Oleh itu, 1912 ialah Tahun Pertama Republik, manakala tahun 1949 ialah Tahun ke-38. Sistem ini masih digunakan untuk tujuan rasmi di Taiwan. Bagi tempat-tempat lain di China, pada tahun 1949 Republik Rakyat China memilih sistem Common Era (iaitu sama dengan Masihi/Sebelum Masihi), seiring dengan piawaian antarabangsa.

Kitaran batang-dahan

Rencana utama: Ganzhi

Sistem penandaan tahun bersejarah yang lain di China merupakan yang brasaskan kitaran 60 tahun batang-dahan. Sistem ini berasaskan dua bentuk perhitungan: satu kitaran 10 Batang Samawi dan satu kitaran 12 Dahan Duniawi. Setiap tahun dinamakan sempena pasangan satu batang dan satu dahan (干支 gānzhī). Batang Samawi dihubungkan dengan Yin Yang dan Lima Unsur. Kitaran 10 tahun terkini bermula pada tahun 1984, 1994, dan 2004. Dahan Duniawi pula berkaitan dengan 12 bintang Zodiak Cina. Setiap Dahan Duniawi juga dikaitan dengan sejenis haiwan, sama-sama dikenali sebagai 12 Haiwan. Kitaran 12 ahun terkini bermula pada tahun 1984, 1996 dan 2008.

Oleh sebab nombor 10 (Batang Samawi) dan 12 (Dahan Duniawi) mempunyai faktor sepunya 2, cuma setengah daripada 120 kombinasi batang-dahan yang boleh dibentuk akan sebenarnya terjadi. Kitaran 60 tahun yang terbentuk mengambil nama jiǎzǐ (甲子) sempena tahun pertama dalam kitaran, iaitu Batang Samawi "jiǎ" dan Dahan Duniawi "zǐ". Istilah "jiǎzǐ" juga digunakan sebagai kata kiasan yang bererti "sepenuh jangka hayat"—seseorang yang hidup melebihi satu jiǎzǐ jelasnya dirahmati.

Mula-mulanya, sistem ini digunakan untuk menanda hari, bukan tahun. Bukti terawalnya didapati pada tulang ramalan dari c.1350 SM pada Dinasti Shang. Sistem pentarikhan ini masih diamalkan ke hari ini, dan masih didapati dalam kalendar Cina moden. Meskipun batang-dahan tidak boleh digunakan untuk menyimpulkan hari sebenar dalam peristiwa bersejarah, namun boleh membantu pertukaran tarikh Cina ke kalendar lain dengan lebih tepat.

Sekitar dinasti Han, kitaran batang-dahan mula digunakan untuk menanda tahun. Sistem 60 tahun ini berkitar secara berterusan, serta menentukan haiwan atau bintang zodiak kelahiran seseorang. Kitaran-kitarasn ini tidak bernama, dan digunakan bersempena nama pemerintahan yang diisytiharkan oleh Maharaja. Contohnya: 康熙壬寅 (Kāngxī rényín) (1662 M) ialah tahun 壬寅 (rényín) pertama ketika pemerintahan 康熙 (Kāngxī), iaitu nama pemerintahan seorang maharaja dinasti Qing.

Bulan dan jam juga boleh ditandai dengan Batang Samawi dan Dahan Duniawi, namun sebaliknya selalu disebut dengan angka Cina. Dalam astrologi Cina, empat pasangan Batang-Dahan membentuk Lapan Aksara (八字 bāzì).

Penomboran berkesinambungan

Tiadanya "asalan" atau titik permulaan tepat bagi kalendar Cina yang diterima sejagat. Menurut tradisi, kalendar ini direka oleh Huang Di (黄帝) pada tahun ke-61 pemerintahannya pada apa yang dikenali dalam kalendar Gregorius sebagai tahun 2637 SM. Ramai yang menganggap tarikh ini sebagai asalannya, iaitu tahun pertama kitaran 60 tahun yang pertama dalam kalendar Cina, tetapi ada juga orang lain yang menganggap tarikh permulaan pemerintahan Huang Di pada tahun 2697 SM sebagai asalan. Oleh sebab tarikh-tarikh ini genap 60 tahun jurangnya, maka tidak kisahlah yang mana wajar digunakan untuk menentukan urutan batang/dahan atau bintang astrologi untuk mana-mana tahun berikutnya. Contohnya, 2006 ialah tahun 丙戌 (bǐngxū) dan Tahun Anjing tanpa mengira sama ada tahun dikira mulai 2637 SM atau 2697 SM. Meskipun mulan-mulanya 2637 SM dikenal pasti sebagai asalan kalendar,kini ramai yang lebih gemar 2697 SM.

Pengenaan sistem penomboran berterusan bagi kalendar Cina kebanyakannya merupakan kepentingan bagi mubaligh Jesuit dan orang Barat lain yang beranggapan bahawa kalendar semestilah berterusan. Bagaimanapun, pada awal abad ke-20, sebilangan penyokong republik China mula mendukung penggunaan kitaran batang-dahan bernombor berterusan secara luas, agar penandaan tahun tidak bergantung kepada nama pemerintahan Maharaja. (Ini merupakan sebahagian cubaan mereka untuk menyahsahkan Dinasti Qing.)

Pada masa itu, Sun Yat-sen mengenal pasti 2698 SM sebagai asalan kalendar Cina, dan pilihan inilah yang diamalkan ramai masyarakat Cina seberang laut di luar Asia Tenggara seperti Chinatown, San Francisco. Namun begitu, 2698 SM adalah tidak tepat atas sebab berikut: Kitaran 60 tahun kini bermula dengan tahun 1984, iaitu tahun 甲子 (jiǎzǐ). Dengan datum ini, pengiraan menunjukkan baahwa kedua-dua tahun 2637 SM (iaitu 4620=77x60 tahun dari 1984 M) dan 2697 SM (iaitu 4680=78x60 tahun dari 1984 M) merupakan tahun jiazi; manakala 2698 SM pula tidak, maka tidak boleh diterima sebagai asalan. Kesilapan ini mungkin timbul akibat terlepas perhatian fakta bahawa 1 M menyusuli 1 SM secara langsung, tanpa apa-apa "tahun sifar" di antaranya.

Andai 2637 SM dijadikan asalan, maka tahun 2007 ialah tahun ke-4644. Jika 2697 SM pula, tahun 2007 M ialah tahun ke-4704. Namun begitu, bagi orang Cina moden, tahun-tahun dikenali melalui penandaan Masihi sahaja. Tahun 2007 M tidak pernah dipanggil Tahun 4644 atau 4704.

Persamaan antara sistem

Pautan berikutnya memberikan penukaran tarikh kalendar Cina ke tarikh Barat: http://www.sinica.edu.tw/~tdbproj/sinocal/luso.html

Jadual ini menunjukkan nama tahun batang/dahan, persamaan pada kalendar Barat (Gregorius), dan maklumat berkaitan yang lain untuk dekad ini. (Kesemua tahun ini merupakan sebahagian kitaran 60 tahun yang ke-79, atau ang ke-78jika menerima 2637 SM sebagai asalan.)

Urutan
Jiǎzǐ
(甲子)
Batang/
Dahan
Gānzhī (干支)Tahun… [a]Penomboran
Berterusan [b]
Kalendar
Gregorius [c]
Tahun Baru
(chūnjié, 春節)
155/3wùyín (戊寅)Harimau Tanah4695199828 Jan
166/4jǐmăo (己卯)Arnab Tanah4696199916 Feb
177/5gēngchén (庚辰)Naga Logam469720005 Feb
188/6xīnsì (辛巳)Ular Logam4698200124 Jan
199/7rénwǔ (壬午)Kuda Air4699200212 Feb
2010/8guǐwèi (癸未)Kambing Air470020031 Feb
211/9jiǎshēn (甲申)Kera Kayu4701200422 Jan
222/10yǐyǒu (乙酉)Ayam Kayu470220059 Feb
233/11bǐngxū (丙戌)Anjing Api4703200629 Jan
244/12dīnghài (丁亥)Khinzir Api4704200718 Jan
255/1wùzǐ (戊子)Tikus Tanah470520087 Feb
266/2jǐchǒu (己丑)Lembu Tanah4706200926 Jan
277/3gēngyín (庚寅)Harimau Logam4707201014 Feb
288/4xīnmăo (辛卯)Arnab Logam470820113 Feb
[a] Permulaan setiap tahun zodiak sewajarnya bersamaan dengan hari pertama tahun qamari.[b] Seperti yang dibincangkan tadi, terdapat banyak kesulitan dalam menentukan satu asas untuk kronologi nombor tahun berterusan. Nombor-nombor yang diseranaikan di sini adalah terlebih 60 jika 2637 SM dijadikan asalan; dan terkurang 1 jika 2698 SM pula dijadikan asalan. Maka itu, menurut beberapa sumber, tahun 2006 Gregorian boleh bersamaan dengan 4643, atau 4704 pun.][c] Walau bagaimanapun, persamaan antara tahun Cina lunisolar dan tahun Gregorius suria sudah tentu tidak tepat. Bulan-bulan pertama setiap tahun Gregorius—iaitu yang sebelum Tahun Baru Cina—tergolong dalam tahun Cina sebelumnya. Contohnya, 1–28 Januari 2006 bersamaan dengan yǐyǒu atau 4702. Maka, mungkin adalah lebih tepat untuk menyatakan bahawa tahun Gregorius 2006 bersamaan dengan tahun 4702–4703.]

Tahun suria lawan tahun qamari

Terdapat satu perbezaan antara tahun suria dan tahun qamari dalam kalendar Cina kerana kalendar itu lunisolar. Setahun qamari (年 nián) adalah dari satu tahun baru Cina ke yang lain, manakala setahun suria (歲 suì) pula sama ada tempoh antara dua ekuinoks musim bunga atau tempoh antara dua solstis musim sejuk (lihat bahagian Jiéqì). Tahun qamari hanya digunakan untuk pentarikhan, manakala tahun suria, terutamanya yang antara solstis musim sejuk, digunakan untuk menomborkan bulan.

Rujukan

WikiPedia: Kalendar_Cina http://www.char4u.com/chinese-zodiac-sign.php http://www.henryfong.com/10000.htm http://www.mandarintools.com/calendar.html http://www.hko.gov.hk/contente.htm http://www.hko.gov.hk/gts/time/24solarterms.htm http://www.hko.gov.hk/gts/time/stemsandbranches.ht... http://www.math.nus.edu.sg/aslaksen/calendar/cal.p... http://www.math.nus.edu.sg/aslaksen/calendar/chine... http://www.sinica.edu.tw/~tdbproj/sinocal/luso.htm... https://archive.is/20120716085954/sunearth.gsfc.na...